Showing posts with label sajak. Show all posts
Showing posts with label sajak. Show all posts

Thursday, November 11, 2010

:: istiqomah ::


Aku jauh merenung,

Bicara yang kadang melelahkan,

Ujian yang hadir ibarat air hujan yang menderu lebat,

Terus membasahi segenap sudut hidup ini,

Hingga layar pengharapan, terkadang goyah juga,

Hingga hati selalu berbisik perlahan,

Bersabar dan teruskan berharap wahai diri.

Bersabar dan berharap wahai diri


Aku cuba berfikir logik,

Rasa seperti semuanya mustahil,

Rasa seperti esok tidak mungkin elok,

Rasa ini semua tidak mungkin,

Tapi siapa engkau wahai diri,

Untuk cuba melakar esok,

Yang menjadi milik yang Maha Tahu dan Kuasa

Tidakkah ia bisa sempurna dengan kekuatanNya?


Aku mendongak ke langit,

Aku menghayati diatas,

Perlahan bisikku, Luar biasa yang Maha Kuasa,

Perlahan hatiku menyapa, aku tahu Engkau ada disini,

Aku tahu Engkau mendengar,

Tahu juga Engkau Melihat,

Yakin jugaEengkau Mengetahui,

Hingga aku tidak goyah dengan tahu dan yakin ini.


Hari esok,

Satu persoalan yang rumit difikiran,

Bertatih sambil mengharap,

Mungkin ini gerak bicara pasti,

Kerana ujian sebuah kenikmatan,

Kifarah dosa dan tarbiyyah rabbi,

Namun tenang wahai hati,

Sepastinya engkau tidak berseorangan,

Ada Allah dibelakangmu,

Darahmu untuk jalanNya,

Tidak mungkin jatuh rugi ke bumi,


Maka,

Apakah ujian ini megubah pendirianmu?

Hatiku dengan yakin berbisik,

Tidak!

Mana mungkin aku goyah,

Istiqomah adalah pakaian aku,

Jiwa harta dan segalanya aku siap untukMu,

Gunakan aku untuk menangkan agamaMu !


Maka berikan aku yang terbaik ya Rabbi !



Nukilan ikhlas,


pecinta dakwah

kepong - 091110

Friday, October 22, 2010

:: ikhwati ::

Assalamualaikum wbt

Maaf jika menyepi. Disini ada sebuah sajak yang dinukilkan lama dah. Sekadar bicara hati. Mudah2an manfaat pada diri dan yang lain. Ini sajaknya :


Aku duduk terdiam dihadapanmu,

Kaku dan seakan sunyi,

Seperti aku dan kamu tidak pernah berukhuwah,

Entah kenapa aku jadi sangsi dan terkelu,

Dalam gerak masa yang berjalan,

Komitmenmu, ukhuwahmu dan tadhiyyahmu,

Seperti bukan engkau yang dulu,

Tidak seperti dulu,


Ya Akhi,

Jika bicara tentang insan,

Masing-masing ada permasalahannya,

Masing-masing ada kerisauannya,

Masing-masing ada cabaran hidupnya,

Tapi masakan masalah, risau dan cabaran,

Bisa mencairkan ukhuwah,

Bisa melenturkan jihad,

Bisa megembargembur intima',

Apa engkau sudah lupa tujuan dan jalanmu?


Ya Akhi,

Aku sudah jadi buntu untuk berbicara denganmu,

Sepatah dibalas sepatah,

Berbicara, aku juga yang mesti mulai,

Tersenyum, sudah pasti rumit,

Bahkan hanya wajah yang kaku, yang terpancar,

Sulaman ukhuwah tidak basah dengan iman,

Tapi kekeringan dengan kesunyian,

Atau mungkin, aku sahaja yang terasa begitu


Ya Akhi,

Entah mengapa,

Ku menggambarkan lukisan ceritamu dulu,

Kekuatan tadhiyyahmu,

Kehebatan dakwahmu,

Kepetahan bicaramu,

Kehangatan ukhuwahmu,

Dan identiti hebat mu ini,

Seolah hilang kini,

Hanya menjadi gambaran lalu,

Yang mudah2an bersemi kembali


Ya Akhi,

Ayuh kita tutup bicara lepas,

Kita hanyutkan kelemahan lalu,

Mari kita bina bicara baru,

Identiti baru yang lebih cermat,

Kekuatan baru yang seperti dahulu,

Bahkan lebih kuat dan teguh,

Hingga engkau yang aku kenal dulu,

Masih tetap seperti dahulu,

Tetapi lebih gencar dan hebat dari dulu,


Ya Akhi,

Kerana cintaku kepadamu kerana Allah,

Bait sajak ini hadir dari hati yang tulus,

Yang sentiasa mengharap setiap gerak adalah untukNya,

Setiap bicara adalah untuk dakwah kepadaNya,

Dan aku akan tetap terus berdoa,


Ya Allah,

Sahabatku ini, jagalah iman dan dirinya,

Selamatkan ia dari fitnah duniawi dan kekosongan jiwa,

Semaikan padanya kekuatan iman dan tadhiyyah,

Kembangkan darinya tunas-tunas dakwah,

Dan istiqomahkan dirinya di atas jalanMu,

Agar kami di syurga nanti,

Akan tetap bersama dan bertemu kembali.

Ameen.


Mohon kesedaran antum ya akhi.


Pecinta Dakwah

Jam 2108 - 041010 - Pejabat Pusat ISMA

Thursday, September 2, 2010

:: kemalangan ::


Ku membuka mata,

Badan terbaring atas katil,

Mulut tertutup dengan bantuan pernafasan,

Kaki dan badan sakit-sakit,

Ku jadi binggung,


Sebentar tadi aku baru pulang,

Kini aku sudah diatas katil,


Sebentar tadi aku berpijak pada hari khamis,

Kini aku sudah dihari ahad,


Masa dan kemampuan adalah haq Allah,

Bisa di putar dan di anjak dengan mudah,

Aku manusia, hanya bisa mengharap dan berdoa,


Kini aku merenung jauh,

Kudrat yang lemah dan tiada daya ini,

Hanya bisa meraung dan merintih kesakitan,

Musibah semalam mengajar sejuta hikmah,


Ukhuwah dan tarbiyyah imtihan mendidik hati

Agar kenal erti sebenar bicara seorang insan,

Yang masih harus ada tali pengharapan

Pada Allah yang Kekal Satu


Semalam,

Ku teringat puluhan yang hadir ke hospital dan rumah,

Dari kawan SMKAKL,

Dari kawan UTP,

Dari ikhwah akhwat seperjuangan,

Dari kawan kepada kawan,

Semuanya bawa sejuta erti dan warna,

Seribu bicara dengan secebis harapan,

Sekelumit doa dan sebuah semangat,

Untuk aku jauh merenung,

Meletakkan kembali sebuah semangat,

Kerna hari esok masih ada,

Kerna harapan itu masih ada,


Kini,

Kesakitan dan kesedihan,

Mengajar aku,

Aku perlu menapak ke depan,

Laju dan tidak berpaling,

Mengukir sebuah cita,

Dan mengulit sebuah harapan,

Agar belajar dari kisah silam,

Untuk tidak ulang kisah lalu,

Walau kadang air mata mengalir,

Mencari sinar cahaya,

Untuk aku baiki kerosakan,


Kini kepastianku berbicara,

Hingga lisanku perlahan mengalunkan,

"Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun"

Agar aku belajar sesuatu,

Ujian ini adalah sentuhanMu,

Musibah ini adalah penghapus dosa,

Untuk aku kenal sebuah tanda,

Tanda yang bersulam cinta,

Sebuah tanda,


Engkau masih ada sayang padaku,

Masih ada sayang padaku,

Masih ada sayang padaku,


Terima Kasih ya Allah.



21 Ogos 2010 - Menjalara Kepong

Selepas keluar wad

:: seorang da'i & sang murobbi ::

Ketika setiap insan terlena,

Sang da'I bangkit dengan dayanya yang sedikit,

Ia merenung jauh dengan gelora perasaan,

Ia terpencil kerana keadaannya,

Namun kuat tekad dan tadhiyyahnya,


Entah siapa yang tahu amalnya yang disembunyi,

Entah siapa tahu keazamannya yang tinggi,

Mereka pasti tidak tahu siapa itu sang da'I,


Ketika dakwah mula berkembang,

Sang da'I cuba menolak upayanya,

Cuba bina identiti yang kadang tidak mampu,

Cuba jadi macam-macam buat dakwahnya,

Perlahan dan perlahan ia menapak,

Walau selalu sakit dilanggar ombak,


Ketika sang da'I menjadi murobbi,

Perasaan dan harapannya tinggi,

Matanya sentiasa merenung anak halaqahnya,

Fikirannya sentiasa memikirkan anak halaqahnya,

Jiwanya juga sentiasa merisaukan anak halaqahnya,

Pasti anak halaqahnya dulu dari dirinya,


Kadang, anak halaqahnya futur,

Sang murobbi itu cuba bersungguh menguatkan mereka,

Sepenuh kudrat menabur nasihat,

Sekelumit peluh menatang kasih sayang,

Sehabis masa cuba merapat,

Tetap dan tetap


Kadang, anak halaqahnya meragam,

Ia minta ini dan itu,

Sang murobbi sentiasa melayan dengan senyuman,


Kadang ia merungut,

Sang murobbi perlahan bersabar dan nasihat,

Tetap dengan senyuman,


Kadang ia mengadu,

Hingga tengah malam ia bermesej dan telefon,

Sang murobbi sentiasa komited,

Sabar dan menanam harapan melayan mereka,

Tetap dengan senyuman,


Namun,

Apakah mereka tahu,

Iaitu insan dan anak halaqahnya,

Sang murobbi dan da'I itu,

Waktu malamnya merungut pada Allah,

Kakinya sakit berdiri bertahajud,

Masanya tiada agenda rehat,

Kudratnya selalu sakit-sakit,

Dan jiwanya selalu terguris,

Bahkan hatinya, terkadung sejuta perasaan rahsia


Ketika menunggang motonya,

Ia selalu menutup visor helmetnya,

Bukan kerana takut habuk dan kotoran,

Hanya kerana ia ingin menangis buat pengaduan,

Sepi cuba cari Allah,

Perlahan cuba berbicara dengan Rabbnya,

Cuba letak tekad dan kuatkan sabar,

Agar insan dan anak halaqahnya tidak tahu,

Tetapi Kekasihnya perlu tahu.


Dan sang murobbi itu tetap seperti itu,

Cuba pencar jadi seorang da'I,

Walau ia tahu, dirinya tidak mampu,

Apatah lagi kekeringan daya,

Tapi ia tidak kenal lelah,

Tetap cuba melangkah,

Dan akan terus melangkah.


Kini, ia merenung jauh,

Tiada guna beragam dengan syu'ur,

Kerana masa akan terus berputar,

Dan keyakinannya teguh seperti itu,

Untuk membuka sebuah ruang,

Agar mereka, insan dan mutarabbinya,

Sentiasa terus datang kepadanya,

Berbicara dengannya,

Mengadu padanya,

Berkongsi bersamanya,

Untuk ia terus memakai sebuah lencana,

Sebagai seorang da'I dan sang murobbi.


Dan ia pasti akan tetap seperti itu,

Akan tetap seperti itu,

Akan tetap seperti itu.


Istiqomah!



Nukilan ikhlas,

pecinta dakwah

MT - jam 0200, 30 julai 2010

:: monolog diri ::


Kali ini,

Air mata menitis lagi,

Kebuntuan yang menyesakkan dada,

Aku hancur dengan begini,

Dakwah dan diri aku bak angin deru yang hampa,

Menanti bayu menghembuskan yang terakhir,

Hingga kaku tiada lagu,


Apa iniwahai diri,

Patah semangat kah dirimu,

Mereka tidak memahami,

Perlukah menyalahkan mereka,

Mari bangkit dan selesaikan teka teki ini,

Cari corak yang sesuai buat kekalutan ini,

Hampa dan henti,

Sepastinya itu jawapan yang hina,


Apa ini wahai diri,

Usap air matamu,

Beginikah da'I menlayan ujian,

Buntukah kau dengan harapanNya,

Hulurkan tanganmu ke langit,

Jeritkan asma Rabbmu,

Kuat dan gempakan arasy,


Lemah nya dirimu,

Lihat dirimu,

Apakah ini cita-citamu?

Perlukah dakwah itu hancur,

Dengan kebodohanmu sendiri,


Bagaimana ini,

Sejuta cara aku tawarkan,

Apakah tiada pintu untuk sedikit peluang,

Seolah tiada kunci yang tepat,

Merapat dan tertutup ketat,

Dakwah ku makin sepi,

Jiwa ku bukan ini,

Bahkan bukan ini, Dan tidak ini.


Apa ini wahai diri,

Engkau kabut, Pikirmu serabut,

Layan perasaan meracuni diri,

Hentikan tangismu,

Bukan ini coraknya,

Ini hanya terus membunuh hati,

Membuntukan lagi teka teki,

Susun atur langkahmu,

Jalan ini ceritamu,

Ceriakan dengan kematangan,


Wahai Tuhan,

Aku perlukan keajaibanMu,

Bantulah aku..



Nukilan ikhlas : pecinta dakwah

26 Januari 2010

:: sebuah hijrah ::


Kenapa ya akhi,

Kelihatan sedih dan pilu,

Sayup meninggalkan keluarga?

Kasih sayang dan cintaku masih disana,

Memerlukan dan diperlukan,

mungkin ini kata yang sesuai,


Namun, tak mengapa,

Ku lakukan demi dakwah dan cinta ku pada Allah,


Disini,

Ada ikhwah ku, saudara seperjuanganku,

Imanku terjaga,

Jika mereka tiada pun,

Aku rasa lebih rapat dengan Mu,


Aku..kini..harus jadi matang dan kuat!

Mari uruskan maisyah mu

Urusin dakwahmu

Jihadmu


Aku bersegera kepadaMu.

Iringi ku dengan pertolongan Mu

Gunakan segala apa yang ada padaku,

Aku pinjamkan segalanya buatMu,

Tubuhku, Masaku, Hartaku,

Kemaskannya utk memenangkan agamaMu,


Redhoi hambaMu ini..



Hari pertama di MT

Nukilan ikhlas : pecinta dakwah

Jam 1735 - 04 Februari 2010

Tuesday, May 18, 2010

:: sebentar nanti ::


Hatiku ingin menjerit girang
Irama ku adukan dengan nyanyian

Setiap helaan nafas aku pamerkan

Detik layar suci aku taburkan

Dengarkan ini wahai insan

Bicara seorang teman


Lagu lagu dakwah itu bermain di telinga

Kegembiraan seni tarbiyah menghiasi qalbu

Suara islam ibarat warna warni yang cermat

Apa cerita insan yang ketinggalan

Apakah mereka kebutaan


Tari-tari tadhiyah membaluti pakaian

Pada setiap kader yang mencintai Tuhan

Bagai wahn tiada ruangan yang tepat,

Apa cerita da'I yang melayan keduniaan

Apakah mereka inginkan kehinaan


Insan insan dakwah itu beraksi di mata

Kekuatannya ibarat seni dan lukisan

Kreatif dan tersemat perlahan

Dengan kecintaan Tuhan dan kerendahan alunan

Apa cerita da'I yang duduk-duduk

Apakah mereka benar keuzuran


Pelangi cinta Allah memancari mereka,

Ibarat senyuman langit selepas hujan,

Dengan seni rindu dan girangnya kehambaan,

Apa cerita da'I yang meluputkan cintaNya

Apakah mereka tidak hauskan keredhaan


Seni kata tiada bicara tepat,

Kerana bait-bait tarbiyyah dan dakwah,

Adalah seni yang terindah,

Adalah warna yang terceria,

Adalah lagu yang mempesona,

Hanya saja, ingin aku jeritkan lagi,

Nantikan gerombolan kemenangan,

Hanya sebentar nanti.

Hanya sebentar nanti.


Nukilan ikhlas,

pecinta dakwah

170510 - Jam 1910 - Office JKKP UKM


:: evaluasi diri ::


Sunyi sepi suara malam,

Saat teman seperjuangan semua lelap,

Penat dengan urusan dakwah,

Luar biasa.

Hatu ku berbicara seni,

Cuba perlahan cari rima sentuhan cahaya,

Kerna aku ingin mengadu sedu padaMu,

Ingin mencoret sedikit keluhan denganMu,

Ingin berkongsi sedikit cerita bersamaMu,

Ingin mendapat sedikit taujih dariMu,

Yang aku sentiasa sayangi dan cintai,

Yang aku ingin selalu rapati dan sentuhi,

Dan pasti dengan layar selalu,

Kerna keghairahanku sentiasa menanti kelamnya hari,

Agar aku dapat sentiasa mengeluh,

Taujih, bercerita dan mengadu,


Namun, aku kadang, kurang pasti jua,

Apakah akan kedengaran bicaraku,

Mungkinkah jua ada balasan cintaku,

Kerna aku bukanlah seorang raja,

Bahkan bukan juga satria,

Sebab aku hanya mujahid kecil,

yang entah siapa,


Ya Rahman,

Layar-layar yang berkibar seolah berbicara laju,

Satu ritma dan satu ritma,

Teliti berlalu memenuhi ruang masa,

Yang sebenar, mengetuk pintu kebuntuan buat aku,

Apakah layar-layar ini tepat dan pasti,

Apakah ia memenangkan risalah suciMu,

Apakah ia benar mengukuhkan bangunanMu,

Hingga kadang,

Aku terasa kekurangan, Bahkan menyuntik kelemahan,

Hanya pada masalah kepastian,

Namun tetap, aku tahu, setiap layar tidak luput dariMu,

Setiap layar tidak pernah salah dengan syariatMu,

Hanya mungkin bisikan luar yang menipu,

Maka berikan layar yang terbaik ya Rabb!


Ya Rahim,

Berdetiknya waktu,

Aku seperti tidak yakin dengan diriku,

Untuk membawa citra warna yang pekat,

Kerna aku tahu aku tidaklah sekuat itu,

Tidak pula sehebat dan setabah itu,

Dan fitrah insani aku, masih seperti itu ,

Apatah lagi dengan ketandusan pengalaman,

Pada ujian baru yang rupanya mudah dulu,

Tapi rumit kini,

Akan tema ujian "amal jamai",

Hingga tarbiyyah imtihan bawa aku kenal,

Bahawa,

Keberatan sebenar amanah,

Keharusan sebenar qudwah,

Kepentingan sebenar kebijakan,

Dan keseriusan sebenar indibath,

Maka senikan kekuatan itu, buatku ya Rabb!


MTI - jam 0030 - 020510


---------------------------------------------------------------------------------


Perlahan berlegarnya putaran waktu,

Aku kini jadi lebih yakin,

Lebih semangat untuk melangkah ceria,

Kerana mungkin benar, masa juga adalah tarbiyyah,

Yang perlahan menghiasi jalan mujahid,

Untuk aku kembali beraksi ikhlas,

Untuk aku bermain pedang jihad,

Kerna aku jua sudah tetap bicaraku,

Tetap jua langkahku,

Kuat jua keyakinan ku,

Teguh jua hatiku,

Atas hikmah Rabbku,

Hasil taujih ikhlas teman syurgaku,

Akan bicara ringkas dan pasti,

"ya akhi, berjiwa besar!"

" berjiwa besar!"


Terima kasih Allah dan ikhwahku - akh ipin.


Ikhlas dariku,

Pecinta dakwah

160510 - bangi - jam 0100



Sunday, December 20, 2009

:: pemuda dan penjaga ::


Assalamualaikum wbt


2 jam lagi akan berangkat ke KLIA. Tak sabar rasanya untuk berada rapat dengan Allah s.w.t dan jua rumahNya (baitullah). Flight ke Jeddah 0230 pagi dan transit di Doha. Mohon doa semua ye, agar dipermudahkan segala urusan kami sekeluarga.


"hambaMu datang menyahut panggilanMu, ya Allah"


"Dan , ketika Kami menjadikan rumah itu tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman" (Al-baqarah:125)


"mereka datang dari segenap penjuru yang jauh" (Al-Hajj:27)


sedikit bingkisan buat semua, tak sempat edit.

wallahualam



Pemuda dan Penjaga


Pemuda itu,

Duduk termenung memikirkan dirinya,

Agak merumit hati dan pikiran,

Apakah bisa diputar kebiasaan hidup,

Yang agak tersimpang dengan lumrah dakwah,

Akan sebuah rungkaian ujian,

Ibarat rahmat dan `nur' tuhan,

Apakah bisa berlari laju mengejar pelangi?


Kerna, sebenarnya,

Si pemuda masih ada penjaga,

Yang mungkin jadi kekeliruan pada pemuda itu,

Walau tidak ditutupi erti sebuah nikmat dan rahmat,

Kerna si pemuda agak buntu,

Apakah penjaga akan memahami,

Darah daging si pemuda adalah dakwah,

Yang sangat kasih dan cintakan Allah,

Dengan pakaian peribadi Rasulullah.


Apakah penjaga akan memahami,

Si pemuda ialah seorang lelaki,

Bukan sang putri yang lemah,

Bukan sang putri yang perlu disimpan dan dijaga rapi,

Bukan juga sang putri yang dikunci dalam rumah,

Kerna si pemuda gagah dan berani,

Mempunyai semangat dan kekuatan,

Sangat inginkan sebuah kebangkitan,

Tanpa kenal erti takut dan kepenatan.


Tapi,

Si pemuda masih juga keliru,

Terkadang mengalir perlahan titisan hampa,

Kerna halangan dari penjaga,

Yang mungkin kurang mengerti si pemuda,

Apakah si pemuda ini masih seperti dahulu,

Yang perlu di kekang keputusan dan kebebasan,

Yang perlu di sekat keupayaan dan kematangan,

Kerna pemuda tahu dan ingin diketahui,

Pemuda sudah dewasa,

Tidak seperti dahulu kala,

Sudah kenal mana putih dan mana hitam,

Kenal jua mara dan mana bahaya,

Atau mungkin,

Hanya kurang keyakinan pada penjaga.


Pemuda,

Nama ini mungkin kurang tepat,

Buat si penjaga yang menjaga,

Kerna bagi seorang penjaga ia seorang anak,

Yang perlu sentiasa menjaga dan perlu dijaga,

Namun,

Mungkin kali ini, lusa dan nanti,

Penjaga perlu tahu, ia kini sudah menjadi pemuda,

Dan juga masih kekal sebagai seorang anak,

Kerna cita-citanya besar,

Ingin terus membela keluarga,

Menjaga rapi dua penjaganya,

Bahkan melakar warna buat umatnya,

Maka izinkannya wahai penjaga,


Buntu jua pemuda,

Kerna pemuda tahu benar akan penjaga,

Yang dahulunya seorang pemuda juga,

Bahkan bualan insan bak abid dan singa,

Yang turut sama memikul risalah suci dibahunya,

Dengan payah dan perit jalan disusuri,

Seperti mana lumrah dakwah itu sendiri,

Ibarat melintasi duri-duri.


Tetapi, kini,

Pemuda seperti kurang yakin akan sejarah itu,

Apakah zaman meluputkan fitrah dakwah,

Yang perlu payah dan susah,

Dan terkadang memikul erti pengorbanan,

Atau mungkin,

Sang penjaga,

Kurang yakin akan jalan sang pemuda,

Takut terpesong dan tidak benar,

Jika itu halangannya, silakan bicara dengan pemuda,

Dengan lembut dan mencari keadilan,

Tanpa segan dan teragak,

Dan pasti,

Meletakkkan neraca Hadis dan Quran didepan.


Namun, sehebat mana bicara,

Apakan daya pada si pemuda,

Kasih sayang dan cinta bagaikan pakaiannya,

Yang terjahit rapi buat si penjaga,

Kerna pemuda tahu akan jasa penjaga,

Yang berkilau bak emas dan cahaya,

Yang tiada nilai didunia,

Jua tahu akan pesanan Alquran,

Apatah lagi lisan Rasul Tuhan,

Akan kunci syurga itu pada penjaga,

Salah satu pintunya dari penjaga,

Dan keberkatannya juga datang dari penjaga,


Kerna itu,

Si pemuda kurang yakin untuk melangkah,

Untuk melukis warna warni dakwah,

Sepastinya pemuda tahu,

Kunci dan pas kebenaran pada penjaga,

Untuk memberi pemuda sebuah kebebasan,

Bahkan sebuah keberkatan,

Maka dengan itu,

Dengarkan ini wahai penjaga,

Akan bisikan pemuda,

Berikan dua sahaja buat sang pemuda,

Pertama, Izinkanlah ia.

Kedua, berikan keredhaan..



Nukilan ikhlas : pecinta dakwah

Jam 2007 - 3 Muharam 1431, 20 Dis 2009



Saturday, December 19, 2009

:: bicara hati ::


Ku tahu ya Allah, Aku sedang diuji,

Inginku bermain kata,

Menulis bisikan hati terus tanpa tapis,

Kerna takut aku, ia jadi bisa,

Aku macam buntu dan sayu,

Tiada siapa ingin aku bicarakan,

Melainkan hati ini sentiasa memanggil namaMu,


Hatiku juga berbisik perlahan,

Bertahan lah wahai diri,

Aku keliruan, sepi dan tiada rima,

Saat ini mudah saja iman dicemari,

Mudah juga aku terjatuh,

Namun hatiku berkali memberitahu,

Aku sedang diuji, Maka bertahanlah wahai diri,


Kenapa wahai diri?

Engkau seolah dilihat lemah,

Macam kekosongan.

Kenapa...

Entah kenapa..aku macam tiada arah,

Tenang wahai hati,

Kabut bererti gagal,

Serabut membawa kekurangan,

Dua kunci kau perlu manggakan,

Sabar dan solat, semaikan perlahan..


Pegang katamu dulu,

Insan..beda ujiannya..

Banyak cabarannya,,

Bila ingin kekuatan besar baginya..

Besar juga dugaannya..

Maka kene bertahan wahai diri..

Harus..

Tetap bertahan.


* Perlahan ku menarik nafas, air mata sesekali bergenang

Aku buntu,.Mungkin kini aku perlu berwuduk,

Solat dhuha, Berdoa, membaca alqruan dan menyuntik kembali kekuatan


Hatiku berbisik lagi.

K u t ah u I ni uji a n mu y a Alla h

K u t ahu En g k a u ju ga,

T I d ak per n a h lup u t m en de n g arka n ku,

Ak u ad a sat u tem p a t sa h a j a..

H a ny a p a da Mu u n tu k ak u b er t a ha n

J u a k e rn a M u . K em as i ku y a A ll ah. ..

T e tap . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .


** pergi mencari kekuatan **

Saturday, December 8, 2007

:: ukhuwah ::

buat ikhwah sekalian,


ukhuwah yang terbina,
takkan terungkap dengan kata,
ianya umpama persis rantaian bunga,
yang tersusun kukuh,
segar menghiasi memori ingatan,
yang tersipu duduk memberi senyuman,

kerna tiada siapa mengerti,
jua mengamati,
jalinan erat ikatan yang terpintal rapi,
terbina kukuh dibaluti suci,

kerna itu kami pasti,
dengan ukhuwah, tiada erti sepi,
dengan ukhuwah, teguh berdirinya kami,
dengan ukhuwah, asas penyatuan dakwah kami,
dengan ukhuwah, kami akan terus melangkah ke hadapan,
dengan ukhuwah, kami takkan pernah gentar,

dan kerna ukhuwah dan dakwah,

kami akan terus berjuang...


nukilan,
pecinta dakwah,
www.cinta-teratas-011.blogspot.com

Thursday, October 25, 2007

:: buatmu pejuang ::

hari ini hatiku tergerak menyapa,
tersapa membicara tentangmu,
kerna jiwa ini sudah bosan dengan mainan lakonanmu,
gah berdiri dihadapan manusia,
dengan hebatnya dalil tuhanmu,
dengan main kata-kata seiring dusta,
mencorak insan yang hanya tipuan belaka,
dan nantikanlah suatu masa
dihadapan tuhanmu untuk berbicara..

wahai pengelar pejuang,
kau kata hidupmu kerna yang Atas,
kau bicara cita-citamu syahid dijalanNya,
kau ungkap dirimu, hanya untuk jihad kepadaNya,
namun wahai pengelar pejuang,
angananmu itu kosong belaka,
hanya debu yang berterbangan,
dibawa angin lakonan,
kerna kau sebenarnya patung hidup,
yang berbicarakan kosong,
dengan jiwa yang lompong..

dengarlah pejuang,
tatkala kau hebat bermain dimedanmu,
di saat kau berbicara petah membenarkan hadis Rasulmu,
kau sudah lupa akan dirimu,
membiarkan dirimu terkapai-kapai,
terumbang ambing dibawa kealpaan,
hanya kerna satu hamparan ujian, diberi kabar keduniaan,
hingga kau lentuk dengan bayangan keindahan,
dibuai bisikan si laknat yang durjana,
hingga kau tersujud melayan cinta leka,
membuai si nafsu saat itu menjadi tuhan,
tanpa ingat akan dalilmu jua,
yang kau bicara dahulu,
pada insan yang bernama manusia,
dengan gahnya kau bernama pejuang..
yang sebenarnya hanya sia-sia...

pasang pemikiranmu wahai pelakon kosong,
dalam masa kau petah berbicara mencorak ummat,
dalam masa kau hebat membetulkan kesalahan insan,
dalam masa lidahmu mengatakan aku pejuang,
sedarkah dirimu kau hanya penentang dirimu sendiri,
kau hanyalah insan yang merobek tubuhmu sendiri,
kau hanyalah jiwa yang membunuh jiwamu sendiri,
kerna apa wahai pelakon kosong,
kau hanya pandai berbicara tanpa berbuat,
kata-katamu pada manusia tidak pernah seiring perbuatanmu,
dalil tuhanmu pada manusia tidak mengambarkan dirimu,
kerna wahai pejuang, kau sebenarnya hanyalah seorang pelakon kosong,
yang membodohkan dirimu sendiri,
yang menyumbat hatimu saat mengetahui ayat yang Maha hidup,
iaitu "wahai orang beriman,mengapa kamu berkata,
tetapi kamu tidak melakukan?"

telitikan ini wahai pembunuh diri,
saat tuhanmu mengujimu dengan dunia,
mulalah kau menjadi lupa,
diberi harta, anak dan isteri untuk menghias hidup,
tapi kau jadikan ia tujuan hidup,
kau sudah lupa urusan dakwahmu,
kau terleka dibuai cinta si pesona dunia,
kau termakan dengan harapan si cahaya,
kau tertidur mengejar si harta dunia,
hingga hilang pemikiran dakwahmu,
hingga hilang izzah kehidupan pejuangmu,
apa ini wahai pejuang? inikah perjuanganmu?,
mana letaknya janji-janji manismu?
inikah yang kau katakan cita-citamu?
sungguh Allahlah sebaik-baik pembalas wahai dai,
bukankah firman tuhanmu jelas yang mereka pemfitnah,
kau juga yang sentiasa ingatkan manusia,
tapi kau alpa dengannya,
mengejar mimpi ke arah neraka,
hingga hilang arah ke syurga...

perhatikan ini wahai si penipu diri,
aku bosan dengan jalan layar tipuanmu,
yang pandai menipu manusia dengan lakonanmu,
yang hebat didepan pentas keduniaan,
yang dihadapan insan, teratur sekali ibadahmu,
di hadapan insan, gah sekali dirian solatmu,
di hadapan insan, hebat sekali dalil tuhanmu,
hinggakan si alam juga terpukau melihat lakonanmu,
tapi bila di belakang insan,
mulalah terbuka tembelang si penipu diri,
di belakang insan mula terlerai aturan ibadahmu,
di belakang insan mula hilang kusyuk solatmu,
di belakang insan mula hancur binaan imanmu,
hingga membenarkan kau sebagai pembohong ummat..

dan wahai pengelar pejuang,
wahai pelakon kosong,
wahai penipu diri,
hatiku sentiasa sedih dengan karaktermu,
sering hampa dengan lakonan tipuan dirimu,
sering lemah melihat mainan cinta teratasmu,
hingga terkadang menitis air mata memikirkan dirimu,
yang hanya suratannya indah tapi siratannya punah..

tapi wahai pejuang,
kata-kataku bak bilahan pedang yang tajam dihadapanku,
yang sentiasa menanti untuk menikamku semula,
kerna aku jua wahai pejuang,
adalah sepertimu,
memikul urusan ummat dibahuku,
hingga cukup takut dengan diriku,
andai diri ini hanya menjadi pengelar,
andai diri ini hanya menjadi pelakon,
andai diri ini hanya menjadi penipu diri..

namun wahai pejuang,
aku juga mengetahui fitrahnya insan terleka,
lumrahnya manusia itu pelupa,
tapi itu bukan alasannya, malah sebagai pengingat alpa,
untuk tidak menyamai lagi dengan pengelar itu,
yang hanya pandai mengelar dirinya pejuang,
untuk tidak menyamai lagi dengan pelakon itu,
yang hanya suka berlakon kosong dihadapan manusia,
untuk tidak menyamai lagi dengan penipu itu,
yang hanya hebat menipu diri sendiri,
tapi wahai pencinta kebenaran,
jadikan dirimu bak cahaya suci yang memberi sinar erti pejuang,
jadikan dirimu seperti rama-rama yang menghiasi dihati ummat,
jadikan dirimu seakan manusia yang berdiri teguh,
memandang tepat ke arah syurgaNya,
dengan mengalir darah cinta teratas,
tanpa pernah merasa tempias keduniaan,
sambil berkata...
aku menjual diri ini untukMu, wahai kekasih hati..
saksikan cintaku untuk agamaMu....


ayuh selamatkan ummatmu wahai pejuang...

nukilan,
pecinta dakwah
www.cinta-teratas-011.blogspot.com

Friday, September 21, 2007

:: penyulam cinta ::


seorang wanita,
bermahkotakan ibu,
berpakaiankan ayu dan peduli,
berhiaskan rantai ikatan jiwa,
berikatkan tali ikatan cinta,
dalam hari dan hari,
dari masa dan masa,
perlahan menyimpul tautan itu,
kerna tautan itu,
tautan darah dan akidah,
tautan rahmat dari Allah..

aku merenung kembali,
tautan dan mahkota mu itu,
timbul sebak di sudut ini,
bagaimana personaliti hitamku waktu dulu,
bagaimana bodohnya perlakuan lakonan nafsu,
bagaimana jahil si pembantah lalu,
apalah daya wahai ibu,
aku masih belajar kenal alam,
masih merangkak dalam kelam,
masih cuba jadi hebat,
sampai terkadang aku lupa pada yang atas,
bahwa dibawah ada satu tautan,
dibawah masih ada dirimu..

namun ibu,
detik dan saat,
aku cuba untuk berubah,
cuba jadi seperti mauan mu,
cuba kenal tautan simpulan mu,
cuba berlari terus ke langit,
laju dan tiada henti,
tanpa kenal rasa payah dan susah,

tapi..maafkan diriku ibu..
aku bukan seperti harapanmu,
tidak selalu ada disisimu,
tidak selalu menjadi penghiburmu,
tidak selalu membawa berita kejayaanku,
tidak jua memgikut nasihatmu..

walaupun itu wahai ibu tercinta,
kelemahanku itu bukan erti ingkarku,
kelemahanku itu bukan jua kelalaianku,
cuma, keterbatasan diriku sebagai manusia,
kerna tugasan dibahuku wahai ibu,
adalah lebih besar untuk dibawa,
tugasan dibahuku ini bukanlah tugasan biasa,
tugasan atasku ini,,
adalah tugasan ummat dan dakwah..

ketahuilah wahai pemilik mahkota,
dalam keterbatasan ini,
aku masih cuba dan terus mencuba,
menjadi seperti mauman,
berusaha mencapai harapanmu,
demi menjadi putra penghias hatimu..

dan ingatlah wahai pemilik tautan,
mungkin terkadang engkau lupa,
pada sesuatu yang amat berharga,
satu untaian yang suci,
suatu untaian yang memancar kekuatan,
untaian yang jarang dihadirkan,
oleh jiwa-jiwa putra dan putri,
untaian yang sering diabai alpa,
untaian yang suci dan terapi,
tak siapa menyedari rapi..

dan ibu,
untaian inilah yang aku ulit dengan indah,
untaian inilah yang aku cuba ukir dihatiku,
untaian inilah,
yang aku bina dengan penuh rasa cinta,
dan untaian inilah wahai ibu,
yang sentiasa aku ikat dengan tautanmu,
untaian inilah wahai ibu,
aku simpul matikan dengan tautan cintamu,
dan untaian inilah wahai ibu,
sama kukuh dan kuat dengan tautan kasihmu..

dan duhai ibu,
ketahuilah,
untaian inilah doa dan perhatianku padamu,
untaian inilah rasa cinta tersuciku padamu,
untaian inilah ibu, zahirnya biasa,
siratannya luar biasa,
hebat dengan ciri kekuatan yang sendiri..

aku ingin engkau tahu ibu,
dengan untaian inilah,
walau aku tidak selalu disisimu,
aku sentiasa mendoa dan mengingatimu,
walau aku tidak selalu menjadi penghiburmu,
aku sentiasa merindui dan mencintaimu,
walau aku tidak selalu membawa
kejayaan untukmu,
aku masih sentiasa tetap,
didalam tahajudku,
didalam sujudku,
pagi dan malam,
saat dan detik,
mengingati, merindui dan mencintaimu..

dan terakhir dariku ibu,
jika belum pernah engkau dengar,
ucapan terima kasih ku,
ketahuilah doaku ini,
wahai penyulam cinta,
moga tuhan menyayangimu,
sepertimana engkau mengasihiku,
dari dulu hingga kini,
untuk selama-lamanya..

selamat hari lahir buat penyulam cinta ^_^


sentiasa berusaha menjadi soleh,
nukilan anakmu,
pecinta dakwah

- september 2007 -